KUANTAN 13 Mei – Kerjasama strategik antara syarikat pembekalan minyak petrol dan diesel, Smart Stream Resources Sdn. Bhd. (Smart Stream) dengan Petronas menyaksikan semua produk di stesen minyak mini Smart di seluruh negara dibekalkan oleh syarikat minyak nasional itu.
Pengarah Urusan Smart Stream, Mohd. Khairuddin Saimon berkata, penggunaan sepenuhnya produk di bawah Petronas di stesen minyak mini Smart itu bermula Disember tahun lalu.
Katanya, jalinan kerjasama berkenaan merupakan strategi jangka masa panjang dengan melihat dari segi arah tuju pembangunan di luar bandar selain status Petronas sebagai syarikat minyak nasional.
“Apa yang kita lakukan kerjasama dengan Petronas adalah untuk jangka masa panjang. Kita tidak bimbang dari segi pembekalan yang dapat diperoleh secara berterusan, mempunyai kestabilan dan strategi perniagaan adalah sangat baik serta berkesan dengan Petronas ,” katanya selepas majlis perasmian Stesen Minyak Mini Smart Panching Selatan di sini hari ini.
Majlis berkenaan disempurnakan oleh Ketua Pegawai Penguatkuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd. Suffian Mohd. Abass.
Pembukaan stesen minyak tersebut menjadikan jumlah stesen minyak yang dibangunkan Smart Stream kini 76 buah di seluruh negara dan ke-27 di Pahang.
Sempena perasmian stesen minyak itu, Smart Stream turut menyumbangkan minyak petrol percuma kepada penunggang motosikal.
Menurut Mohd. Khairuddin, kerjasama strategik dengan Petronas juga membolehkan pelanggan stesen minyak mini Smart menggunakan Kad Mesra Petronas.
“Kita akan lakukan secara berfasa untuk pelanggan-pelanggan stesen minyak Smart menggunakan Kad Mesra Petronas.
“Ini bermakna Kad Mesra Petronas bukan sahaja boleh digunakan di stesen minyak Petronas tetapi di stesen minyak Smart,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, Smart Stream menyasarkan untuk mempunyai 100 buah stesen minyak di bawah jenama mereka menjelang hujung tahun depan.
Sumber dari – UTUSAN ONLINE