MARAN: Mekanisme dalam pelaksanaan subsidi petrol bersasar akan dilakukan dengan kemas dan teratur bagi memastikan matlamatnya dicapai.

Perkara itu sedang dimuktamadkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang turut memberi jaminan bahawa pelaksanaan subsidi itu sampai kepada golongan yang layak.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata buat masa ini pihaknya sedang menunggu data lengkap daripada sekretariat Bantuan Sara Hidup (BSH) sebelum mekanisme bersesuaian boleh dilaksanakan.

“Data (maklumat) penerima (BSH) itu adalah komponen terpenting dan paling akhir sebelum pengumuman rasmi mengenai program ini dapat dibuat (dilaksanakan)… data lain yang berkaitan sudah kita ada, dan inilah data yang masih kita tunggu.

“Cadangan memperkenalkan subsidi ini adalah idea yang baik, tapi kalau (datanya) tersasar, kita bimbang (pelaksanaan) tidak akan sempurna… jadi, kita mahu memastikan mereka yang layak tidak tercicir daripada senarai terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Stesen Minyak Mini Smart dan Pelancaran Kad Mesra Smart PETRONAS di FELDA Siantan, Jengka 16, di sini, hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Urusan Smart Stream Resources Sdn Bhd, Mohd Khairuddin Saimon dan Pengerusi Koperasi Guru Melayu Pahang Selatan Berhad, Mohd Hanifah B K Koya Moideen Kutty.

Saifuddin berkata, selepas semuanya lengkap, pihaknya akan membentangkan perkara itu kepada Kabinet dan sebarang perkembangan akan dilaporkan secara berkala kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, tujuan utama pembinaan stesen minyak di kawasan pedalaman dan FELDA adalah bagi membendung aktiviti penjualan minyak tidak mengikut spesifikasi.

“Kita tidak mahu kompromi soal keselamatan, terutama penjualan petrol menggunakan tong atau botol yang tidak menepati spesifikasi ditetapkan hingga boleh mengakibatkan masalah lain.

“Jadi, inilah antara sebab kita menggalakkan lebih banyak stesen minyak seperti ini dibuka di kawasan FELDA atau pedalaman. Selain itu, kemudahan lain juga boleh didapati di stesen minyak mini, antaranya mesin juruwang automatik dan tempat untuk penduduk membayar bil (utiliti),” katanya.

Sumber oleh Nik Sukry Ramli niksukry@bh.com.my

Pautan ke laman Berita Harian