KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi jaminan pelaksanaan subsidi petrol bersasar akan dilakukan secara kemas dan teratur.

Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara itu menjadi keutamaan pihaknya dalam memastikan hanya golongan layak saja menerima subsidi berkenaan.

Katanya, pihaknya masih menantikan data daripada sekretariat Bantuan Sara Hidup (BSH) berhubung maklumat penerima sebelum ia dimuktamadkan.

“Data maklumat penerima itu adalah komponen akhir sebelum pengumuman program ini dilaksanakan, data lain sudah ada namun kita masih menunggu komponen akhir berkenaan.

“Cadangan ini (subsidi) adalah satu idea yang baik namun jika datanya tersasar ia mungkin tidak sempurna, justeru itu kita mahu memastikan golongan sasar itu tidak tercicir,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Stesen Minyak Mini Smart dan Pelancaran Kad Mesra Smart Petronas di FELDA Siantan, Jengka 16, Maran, hari ini.

Menurutnya, selepas semuanya lengkap pihaknya akan membentangkan perkara itu kepada Jemaah Menteri.

Jelasnya sebarang perkembangan pelaksanaan akan dilaporkan secara berkala kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dalam pada itu Saifuddin berkata, pembinaan stesen minyak di kawasan pedalaman dan FELDA antaranya bertujuan untuk membendung aktiviti penjualan minyak tidak mengikut spesifikasi yang membahayakan.

“Kita tidak mahu kompromi soal keselamatan, penjualan petrol menggunakan tong dan botol tidak selamat boleh diatasi apabila stesen minyak seperti ini diwujudkan.

“Selain itu, stesen minyak ini juga boleh menjadi tempat bagi penduduk untuk mendapatkan perkhidmatan lain seperti mesin juruwang automatik (ATM) dan pembayaran bil,” katanya.

Sumber dari Raja Norain Hidayah Raja Abdul, Azizrnorain@hmetro.com.my

Pautan ke laman Harian Metro